Mr.Tabung

Thursday, May 10, 2012

Sayang, jangan tinggalkan ku.


Imbas kembali saat kali pertama aku melihat dirimu, hatiku sudah jatuh hati dan jatuh cinta dan terdetik niat untuk memilikimu. Siang malam aku memikirkan alangkah indahnya kehidupan harian ku andai kau bersamaku, terus aku memasang niat dan bernekad untuk memiliki dirimu dengan apa cara sekalipun. 

Aku merasakan setiap wanita yang memiliki dirimu adalah wanita yang bertuah kerana terlalu banyak kelebihan yang ada pada dirimu. Dan sesungguhnya namamu sentiasa menjadi sebutan dan idaman setiap hati yang terpesona melihat kehebatanmu.

Niat aku telah termakbul dan akhirnya kau menjadi miliku sepenuhya, semuanya secara suratan atau kebetulan dan apa yang penting kau adalah milik aku dan tiada sesiapa boleh mempertikaikan hak itu!

Setiap masa kau bersama aku, kau mengingatkan segala tarikh-tarikh penting dalam hidup aku, kau memudahkan aku dalam banyak segi sudut dan kau juga telah melancarkan segala urusan harian aku. Setiap pagi kau tidak pernah malas mengejutkan aku walaupun kadang-kadang di saat itu aku rasa benci di saat bila kau memanggil aku. Dikala aku sunyi, kau menyanyikan pelbagai lagu yang mampu menghiburkan aku. Kau juga tidak pernah lokek untuk berkongsi segala maklumat terkini di kala aku ketinggalan.

Betapa beruntungnya aku memiliki kau, dan aku merasa bangga apabila orang melihat tatkala aku bersama kau. Dan tidak pernah terlintas sedikit pun di hatiku untuk menggantikan dirimu dengan mana-mana yang lain. Aku terlalu menyanyangi dirimu. Aku sentiasa memastikan dirimu terjaga dan apabila kau tidak bermaya aku akan segera memberi kau tenaga semula. Ke mana aku pergi, perkara pertama yang akan ku pastikan adalah kau sentiasa bertenaga supaya dapat aku mengabdikan segala rutin aku di dalam memorimu. Indahnya kehidupan aku apabila semuanya berada dihujung jari dengan adanya kau di sisiku.

Tetapi sayang, jodoh dan pertemuan bukan aku yang tentukan, hanya kerana kelalaian aku sendiri aku telah kehilangan kau untuk selama-lamaya, kau pergi terlalu jauh, aku dah mencuba pelbagai cara untuk menemui kau semula tetapi malangnya gagal, mungkin kau sudah berada di genggaman orang lain, kalaulah boleh aku merayu supaya kau dipulangkan kembali ke pangkuanku, tapi bagaimana caranya untuk aku sampaikan rintihan aku itu?

Berderaian airmata menitis dan meratapi pemergianmu, kenapalah aku cuai? Kenapa aku leka? Kenapa aku selalu pelupa?kenapa..kenapa..kenapa? Semuanya bermain difikiranku. Maafkan aku.

9.5.2012 adalah hari malang bagi aku apabila aku kehilangan kau wahai Iphone kesayanganku, segala kenangan kita bersama yang telah aku abdikan dalam dirimu telah kau bawa pergi bersama dan peluang untuk kita bertemu kembali amat tipis dan ianya memerlukan keajaiban untuk itu. Walaupun satu hari nanti aku terpaksa menggantikan dirimu dengan yang lain tetapi aku tidak akan pernah sama sekali melupakan dirimu kerana kau yang pertama bertakhta di hatiku. Kau juga anugerah terhebat yang pernah aku miliki. Walaupun kau tidak tahu akan betapa istimewanya kau dalam hidupku. Dan untuk ‘orang’ baru yang memiliki kau, aku bermohon supaya dia mampu menjaga kau sebaik mungkin sepertimana aku pernah menjaga kau sepenuh jiwa dan raga.

Andaikata dia dah tak mahu bersama kau lagi, aku masih akan menerima kembali dirimu walau dalam apa jua bentuk pun. Itu janji aku!! Pulangkanlah dia ke pangkuanku. Andai  dapat ku undur masa..andai dapat aku putarkan masa dan andai dapat aku berhentikan masa, mesti semua ini tak akan terjadi, mesti kau masih bersama aku. Tetapi itu cuma harapan yang tak akan pernah terjadi. Walaupun berat ibarat memikul seguni batu tetapi aku harus merelakan pemergianmu dan jauh disudut hati masih ada sebesar zarah harapan agar aku menemuimu kembali.

Ya Allah ya tuhanku, aku percaya dengan setiap takdirMu yang telah tersurat untuk ku dan sesungguhnya aku yakin Ya Allah, yang Engkau tidak akan memberi aku dugaan jika aku tak mampu mengharunginya. Sesungguhnya Engkau Maha  mengetahui.

Hubungan antara kita sangat istemewa walaupun kau hanya sebuah telifon yang diberi nama IPHONE 4!!

SEMOGA KAU MENGERTI TAK PERNAH KU RESTUI PEMERGIAN DIRIMU...SUNGGUH MENYAYAT HATI.


Info: aku tercicir bag kecil merah aku yang mempunyai Iphone & DIGI phone serta RM50 di dalamnya.

No comments:

Post a Comment

Komen murni murni je yer..muchoo..